Setiap umat Islam pasti teringin bertemu ‘Lailatul Qadar’ iaitu malam penuh
rahmat dan kemuliaan. Malam yang mempunyai 7 keistimewaan ini begitu utama dari
malam-malam yang lain kerana ia hanya boleh ditemui setahun sekali sahaja iaitu
pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadhan.
Perkara
itu dijelaskan dalam firman Allah:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ، وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada
Malam Al-Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu?”(Surah Al-Qadar; Ayat 1 – 2)
7
Keistimewaan Lailatul Qadar tersebut adalah:
1. Waktu Diturunkan Al-Quran
Lailatul Qadar menunjukkan keistimewaan kerana pada malam
inilah Allah سبحانه وتعالى menurunkan kitab suci
utama iaitu Al-Quranul Karim.
Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan, “Allah menurunkan
Al-Quran secara keseluruhan sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul’ Izzah yang
ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah ﷺ tersebut secara
beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23
tahun.”
2. Lebih Baik Dari 1000 Bulan
Keutamaan Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini
lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.
Allah berfirman;
لَيْلَةُ
الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ
شَهْرٍ
“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari
seribu bulan.”
(Surah Al-Qadar; Ayat 3)
An Nakha’I dalam ‘Latha-if Al Ma’arif’ menyatakan, “Amalan
di lailatul qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” Mujahid, Qotadah dan
ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan lebih baik dari seribu
bulan adalah solat dan amalan pada lailatul qadar lebih baik dari solat dan
puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat lailatul qadar. (Zaadul Masiir).
3. Malam Penuh Keberkatan
Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan
berdasarkan firman Allah:
إِنَّا
أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang
diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.”(Surah Ad Dukhan; Ayat 3)
‘Malam penuh berkat’ ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan
ini juga menunjukkan keistimewaan malam tersebut. Ramai malaikat yang akan
turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan
turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.
4. Turunnya Jibril Dan Para Malaikat
Keistimewaan Lailatul Qadar diiringi juga dengan turunnya
para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam
al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi
taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati.
Allah berfirman:
تَنَزَّلُ
الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم
“Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin
Tuhan mereka.”(Surah Al-Qadar; Ayat 4)
Keistimewaan ‘Ar Ruuh’ atau Malaikat Jibril yang disebut
dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat
tersebut.
Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan
Al-Quran, mereka juga akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis
zikir dan majlis ilmu. Para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada
penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al-Quran Al
‘Azhim, 14: 407)
5. Malam Kesejahteraan
Lailatul Qadar disifatkan sebagai keutamaan luar biasa dan
kesejahteraan kerana pada malam itu malaikat turun untuk mengucapkan “Salam
Sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.
Firman Allah:
سَلَامٌ
هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر
“Sejahteralah Malam (yang penuh berkat) itu hingga terbit
fajar!”(Surah Al-Qadar; Ayat 5)
Mujahid menyatakan, “Malam tersebut penuh keselamatan di
mana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut, baik berbuat buruk
atau mengganggu yang lain.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim). Juga boleh membawa
makna bahawa malam tersebut, banyak yang terselamat dari hukuman dan seksaan
kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah سبحانه
وتعالى (pada malam
tersebut).
6. Dicatatkan Takdir Tahunan
Lailatul Qadar adalah malam penulisan dan dicatatkan takdir
tahunan. Imam Nawawi rahimahullah dalam ‘Syarh Muslim’ bahawa catatan takdir
tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu dan penulisan Allah Takdir ini nantinya akan diperlihatkan
kepada malaikat dan ia akan mengetahui yang akan terjadi dan mereka akan
melaksanakan tugas yang diperintahkan untuknya.
.
Allah berfirman:
فِيهَا
يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”(Surah Ad Dukhan; Ayat 4)
Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menerangkan bahawa pada
Lailatul Qadar akan diperhalusi di Lauhul Mahfuzh mengenai penulisan takdir
dalam setahun, juga akan dicatat ajal maut dan rezeki. Dan turut juga akan
dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian juga diriwayatkan
oleh Ibnu ‘Umar, Abu Malik, Mujahid, Adh Dhahhak dan ulama salaf lainnya.
.
Allah berfirman,
يَمْحُوا۟
ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُ
ۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ
ٱلْكِتَٰبِ
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan
(apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Umulkitab (Lohmahfuz).”(Surah Ar Ra’d; Ayat 39)
7. Dosa Diampunkan
Dosa setiap orang yang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’
akan diampunkan oleh Allah
Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ
bersabda,
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ
إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا
تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa melaksanakan solat pada malam lailatul qadar kerana
iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan
diampunkan.”(Hadis Riwayat Bukhari r.a.)
Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksudkan
‘iimaanan’ (kerana iman) adalah membenarkan janji Allah سبحانه وتعالى
iaitu pahala yang diberikan kepada orang yang menghidupkan malam tersebut.
Manakala ‘ihtisaaban’ bermakna mengharap pahala dari sisi Allah سبحانه وتعالى, bukan kerana mengharap selainnya seperti
berbuat riyak. (Fathul Bari)
‘Lailatul Qadar’ juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’
bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailatul Tajalli’ yang bermakna malam Allah سبحانه وتعالى melimpahkan cahaya dan hidayahNya kepada
orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Orang yang beribadah sepanjang tahun tentu lebih cerah dan
mudah mendapatkan 7 keistimewaan dan kemuliaan malam tersebut kerana ibadahnya
bersifat kekal, tetap, ikhlas dan konsisten berbanding dengan orang yang
beribadah jarang-jarang.
0 komentar:
Posting Komentar